Apakah itu Hemorrhoid?
Hemorrhoid
(Buasir) merupakan pembengkakan pada saluran darah di bahagian bawah
rektum dan dubur. Kadangkala, dinding pembuluh-pembuluh darah di
Kawasan tersebut menipis akibat regangan, menyebabkan saluran darah
membonjol serta mengakibatkan iritasi terutamanya ketika membuang air
besar.
Hemorrhoid
yang membengkak turut dinamakan sebagai ‘piles’.
Hemorrhoid
merupakan salah satu punca utama bagi pendarahan di bahagian rektum.
Selalunya penyakit tersebut tidak berbahaya dan boleh sembuh dalam
masa dua minggu. Namun, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi
memastikan keadaan anda bukanlah sesuatu yang serius. Pihak doktor
juga boleh membuang hemorrhoid yang sukar untuk sembuh atau yang
menyebabkan kesakitan yang teruk.
Simptom-simptom
Gejala dan
simptom-simptom bagi hemorrhoid termasuklah:
- Pendarahan tanpa rasa sakit ketika meneran – anda mungkin mendapati sedikit kesan darah pada tisu tandas yang anda gunakan atau di dalam mangkuk tandas
- Gatal-gatal atau iritasi pada bahagian dubur anda
- Sakit atau ketidakselesaan
- Bengkak di sekitar dubur anda
- Benjolan pada bahagian dubur yang bersifat sensitif atau menyakitkan (berkemungkinan hemorrhoid berbentuk trombosis)
Hemorrhoid Dalaman
Hemorrhoid
dalaman
berlaku jauh di dalam bahagian rektum yang selalunya tidak dapat
dilihat melalui mata kasar ataupun tidak boleh dirasai. Secara
umumnya, ianya tidak menyakitkan kerana terdapat kurang saraf deria
sakit di kawasan tersebut. Pendarahan mungkin merupakan satu-satunya
petanda bagi buasir jenis ini.
Hemorrhoid Luaran
Hemorrhoid
luaran
berlaku pada bahagian kulit di sekitar dubur, di mana terdapat lebih
banyak saraf deria sakit di kawasan tersebut. Oleh itu, ianya
selalunya akan mendatangkan kesakitan selain daripada pendarahan.
Kadangkala,
hemerrhoid menjadi prolaps, atau membesar dan membenjol di luar
lubang dubur. Anda akan dapat melihatnya sebagai benjolan yang lembab
dan berwarna lebih kemerah-merahan berbanding Kawasan lain. Ianya
juga akan menyebabkan kesakitan terutamanya ketika membuang air
besar.
Hemorrhoid
yang terkeluar selalunya akan masuk kembali ke dalam dengan
sendirinya. Jika tidak, ianya boleh ditolak masuk secara
perlahan-lahan kembali ke tempat asalnya.
Darah
beku boleh terbentuk pada hemorrhoid luaran, menjadikannya berwarna
kebiru-biruan. Hal tersebut dinamakan sebagai trombosis. Ianya
menyakitkan dan menyebabkan kegatalan serta boleh menyebabkan
pendarahan. Jika darah beku tersebut telah mencair, terdapat lebihan
kulit yang mungkin terbentuk yang juga boleh mendatangkan iritasi.
Apakah Punca-puncanya?
Sesetengah
orang lebih cenderung untuk menghidapi hemorrhoid jika terdapat ahli
keluarga yang lain, seperti ibu bapa, yang pernah menghidapnya.
Tekanan
yang terbentuk pada bahagian bawah rektum boleh menggangu saliran
darah dan menyebabkan saluran darah membengkak. Hal ini boleh terjadi
disebabkan oleh berat yang berlebihan, seperti jika anda obes atau
sedang mengandung. Ianya juga boleh berpunca daripada:
- Meneran ketika membuang air besar
- Regangan ketika melakukan aktiviti fizikal yang berat, seperti mengangkat sesuatu yang berat
Mereka
yang berdiri mahupun duduk dalam jangka masa yang panjang turut
berisiko untuk menghidapinya. Anda juga boleh menghidap penyakit
tersebut melalui sembelit atau cirit birit yang berpanjangan. Batuk,
bersin, serta muntah boleh menyebabkan penyakit tersebut bertambah
parah.
Bagaimana Mencegahnya
Makan
Serat.
Cara
terbaik bagi memperolehi serat adalah melalui makanan berasaskan
tumbuh-tumbuhan – sayur-mayur, buah-buahan, bijiran penuh, kekacang
dan biji-bijian,
Ramai orang yang tidak mendapatkan serat yang mencukupi mengikut kuantiti yang dicadangkan di dalam diet harian mereka– 25 gram sehari bagi wanita dan 38 gram sehari bagi lelaki. Kajian menunjukkan bahawa serat di dalam makanan tambahan, seperti Metamucil dan Citrucel, membantu dalam mengurangkan simptom-simptom dan pendarahan daripada hemorrhoid. Produk-produk tersebut membantu dalam menjadikan najis berbentuk lebih lembut dan mudah untuk dikeluarkan.
Minum
air.
Air
membantu dalam mengelakkan najis anda menjadi kasar serta
mengurangkan risiko mendapat sembelit. Dengan itu, anda tidak perlu
meneran terlalu kuat ketika membuang air besar. Selain daripada
mengandungi serat, buah-buahan dan sayur-sayuran turut mengandungi
air di dalamnya.
Bersenam.
Aktiviti
fizikal seperti berjalan selama setengah jam setiap hari, merupakan
antara cara bagi melancarkan saliran darah serta membantu dalam
meningkatkan pergerakan usus anda.
Jangan
tunggu lama.
Segera
ke tandas sebaik sahaja anda mahu membuang air.
Duduk terlalu lama, terutamanya di dalam tandas, boleh meningkatkan tekanan terhadap pembuluh darah di sekitar kawasan punggung.
Bilakah masa untuk berjumpa doktor
Pendarahan
ketika membuang air besar merupakan simptom utama bagi hemorrhoid.
Anda boleh berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan fizikal serta
ujian-ujian lain bagi mendapatkan pengesahan mengenai penyakit
hemorrhoid dan mengelakkan keadaan mahupun penyakit lain yang lebih
parah.
Anda
dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor jika anda mendapati bahawa
anda menghidapi hemorrhoid dan ianya mendatangkan kesakitan, berlaku
pendarahan yang kerap atau berlebihan, serta gejala-gejalanya tidak
dapat dikurangkan melalui ubat-ubatan biasa.
Jangan
anggap bahawa semua pendarahan di rektum adalah disebabkan oleh
hemorrhoid, terutamanya apabila anda telah berusia 40 tahun dan ke
atas. Pendarahan di bahagian rektum turut boleh berpunca daripada
penyakit-penyakit lain, termasuklah kanser kolorektal dan kanser
anal. Jika anda mengalami pendarahan berserta dengan
perubahan-perubahan dalam tabiat sistem usus, atau jika najis anda
berubah dari segi warna serta keadaan daripada kebiasaannya, sila
segera berjumpa dengan doktor. Jenis serta keadaan najis boleh
memberi isyarat bahawa terdapatnya pendarahan yang lebih teruk yang
berlaku di dalam bahagian sistem usus anda.
Sila
dapatkan rawatan segera jika anda mengalami pendarahan yang teruk,
pening-pening, mual-mual mahupun pitam.
Diagnosis
- Pemeriksaan digital. Ketika pemeriksaan rektal digital dijalankan, doktor akan memasukkan jari (dengan bersarung tangan dan berpelincir) ke dalam rektum anda. Doktor tersebut akan mencari sebarang kelainan seperti bengkak atau benjolan. Melalui pemeriksaan tersebut, doktor akan memutuskan sama ada sebarang pemeriksaan lanjut diperlukan bagi pesakit tersebut.
- Pemeriksaan visual. Oleh kerana hemorrhoid dalaman selalunya terlalu lembut untuk dirasai ketika pemeriksaan rektal, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan pada bahagian bawah kolon dan rektum anda dengan menggunakan anoskop, proktoskop atau sigmoidoskop.
Ubat-ubatan
Jangan
gunakan krim steroid melebihi satu minggu kecuali dengan arahan dan
pantauan daripada doktor kerana ia boleh menyebabkan kulit anda
menipis.
Rawatan di rumah
Anda
boleh melegakan kesakitan ringan, bengkak dan radangan hemorrhoid
dengan rawatan sendiri di rumah. Selalunya, berikut merupakan kaedah
rawatan yang diperlukan.
- Bilas atau berendam di dalam air mandian yang suam secara kerap. Bilas kawasan punggung anda dengan air suam selama 10 hingga 15 minit sebanyak tiga kali sehari.
- Pastikan kawasan punggung anda bersih. Mandi secara rendaman (lebih digalakkan) atau mandi secara biasa pada setiap hari bagi membersihkan kulit di sekitar dubur anda secara perlahan dengan air suam. Elakkan daripada menggunakan pencuci berasaskan alkohol atau wangian. Lap kawasan tersebut sehingga kering atau keringkan dengan pengering rambut.
- Jangan gunakan tisu tandas yang kering. Bagi memastikan kawasan sekitar dubur adalah bersih setelah membuang air besar, lap menggunakan kain atau tisu basah yang tidak mengandungi wangian atau alkohol.
- Kaedah ais. Letak ais di permukaannya untuk kurangkan rasa sakit.