Apakah itu Hemorrhoid?

Hemorrhoid (Buasir) merupakan pembengkakan pada saluran darah di bahagian bawah rektum dan dubur. Kadangkala, dinding pembuluh-pembuluh darah di Kawasan tersebut menipis akibat regangan, menyebabkan saluran darah membonjol serta mengakibatkan iritasi terutamanya ketika membuang air besar.
Hemorrhoid yang membengkak turut dinamakan sebagai ‘piles’.

Hemorrhoid merupakan salah satu punca utama bagi pendarahan di bahagian rektum. Selalunya penyakit tersebut tidak berbahaya dan boleh sembuh dalam masa dua minggu. Namun, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi memastikan keadaan anda bukanlah sesuatu yang serius. Pihak doktor juga boleh membuang hemorrhoid yang sukar untuk sembuh atau yang menyebabkan kesakitan yang teruk.


Simptom-simptom

Gejala dan simptom-simptom bagi hemorrhoid termasuklah:

  • Pendarahan tanpa rasa sakit ketika meneran – anda mungkin mendapati sedikit kesan darah pada tisu tandas yang anda gunakan atau di dalam mangkuk tandas
  • Gatal-gatal atau iritasi pada bahagian dubur anda
  • Sakit atau ketidakselesaan
  • Bengkak di sekitar dubur anda
  • Benjolan pada bahagian dubur yang bersifat sensitif atau menyakitkan (berkemungkinan hemorrhoid berbentuk trombosis)


Hemorrhoid Dalaman

Hemorrhoid dalaman berlaku jauh di dalam bahagian rektum yang selalunya tidak dapat dilihat melalui mata kasar ataupun tidak boleh dirasai. Secara umumnya, ianya tidak menyakitkan kerana terdapat kurang saraf deria sakit di kawasan tersebut. Pendarahan mungkin merupakan satu-satunya petanda bagi buasir jenis ini.



Hemorrhoid Luaran

Hemorrhoid luaran berlaku pada bahagian kulit di sekitar dubur, di mana terdapat lebih banyak saraf deria sakit di kawasan tersebut. Oleh itu, ianya selalunya akan mendatangkan kesakitan selain daripada pendarahan.

Kadangkala, hemerrhoid menjadi prolaps, atau membesar dan membenjol di luar lubang dubur. Anda akan dapat melihatnya sebagai benjolan yang lembab dan berwarna lebih kemerah-merahan berbanding Kawasan lain. Ianya juga akan menyebabkan kesakitan terutamanya ketika membuang air besar.

Hemorrhoid yang terkeluar selalunya akan masuk kembali ke dalam dengan sendirinya. Jika tidak, ianya boleh ditolak masuk secara perlahan-lahan kembali ke tempat asalnya.

Darah beku boleh terbentuk pada hemorrhoid luaran, menjadikannya berwarna kebiru-biruan. Hal tersebut dinamakan sebagai trombosis. Ianya menyakitkan dan menyebabkan kegatalan serta boleh menyebabkan pendarahan. Jika darah beku tersebut telah mencair, terdapat lebihan kulit yang mungkin terbentuk yang juga boleh mendatangkan iritasi.


Apakah Punca-puncanya?

Sesetengah orang lebih cenderung untuk menghidapi hemorrhoid jika terdapat ahli keluarga yang lain, seperti ibu bapa, yang pernah menghidapnya.

Tekanan yang terbentuk pada bahagian bawah rektum boleh menggangu saliran darah dan menyebabkan saluran darah membengkak. Hal ini boleh terjadi disebabkan oleh berat yang berlebihan, seperti jika anda obes atau sedang mengandung. Ianya juga boleh berpunca daripada:

  • Meneran ketika membuang air besar
  • Regangan ketika melakukan aktiviti fizikal yang berat, seperti mengangkat sesuatu yang berat

Mereka yang berdiri mahupun duduk dalam jangka masa yang panjang turut berisiko untuk menghidapinya. Anda juga boleh menghidap penyakit tersebut melalui sembelit atau cirit birit yang berpanjangan. Batuk, bersin, serta muntah boleh menyebabkan penyakit tersebut bertambah parah.


Bagaimana Mencegahnya


Makan Serat.
Cara terbaik bagi memperolehi serat adalah melalui makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan – sayur-mayur, buah-buahan, bijiran penuh, kekacang dan biji-bijian,

Serat berbentuk makanan tambahan.
Ramai orang yang tidak mendapatkan serat yang mencukupi mengikut kuantiti yang dicadangkan di dalam diet harian mereka– 25 gram sehari bagi wanita dan 38 gram sehari bagi lelaki. Kajian menunjukkan bahawa serat di dalam makanan tambahan, seperti Metamucil dan Citrucel, membantu dalam mengurangkan simptom-simptom dan pendarahan daripada hemorrhoid. Produk-produk tersebut membantu dalam menjadikan najis berbentuk lebih lembut dan mudah untuk dikeluarkan.

Minum air.
Air membantu dalam mengelakkan najis anda menjadi kasar serta mengurangkan risiko mendapat sembelit. Dengan itu, anda tidak perlu meneran terlalu kuat ketika membuang air besar. Selain daripada mengandungi serat, buah-buahan dan sayur-sayuran turut mengandungi air di dalamnya.

Bersenam.
Aktiviti fizikal seperti berjalan selama setengah jam setiap hari, merupakan antara cara bagi melancarkan saliran darah serta membantu dalam meningkatkan pergerakan usus anda.

Jangan tunggu lama.
Segera ke tandas sebaik sahaja anda mahu membuang air.

Elakkan duduk dalam jangka masa yang lama.
Duduk terlalu lama, terutamanya di dalam tandas, boleh meningkatkan tekanan terhadap pembuluh darah di sekitar kawasan punggung.




Bilakah masa untuk berjumpa doktor

Pendarahan ketika membuang air besar merupakan simptom utama bagi hemorrhoid. Anda boleh berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan fizikal serta ujian-ujian lain bagi mendapatkan pengesahan mengenai penyakit hemorrhoid dan mengelakkan keadaan mahupun penyakit lain yang lebih parah.
Anda dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor jika anda mendapati bahawa anda menghidapi hemorrhoid dan ianya mendatangkan kesakitan, berlaku pendarahan yang kerap atau berlebihan, serta gejala-gejalanya tidak dapat dikurangkan melalui ubat-ubatan biasa.
Jangan anggap bahawa semua pendarahan di rektum adalah disebabkan oleh hemorrhoid, terutamanya apabila anda telah berusia 40 tahun dan ke atas. Pendarahan di bahagian rektum turut boleh berpunca daripada penyakit-penyakit lain, termasuklah kanser kolorektal dan kanser anal. Jika anda mengalami pendarahan berserta dengan perubahan-perubahan dalam tabiat sistem usus, atau jika najis anda berubah dari segi warna serta keadaan daripada kebiasaannya, sila segera berjumpa dengan doktor. Jenis serta keadaan najis boleh memberi isyarat bahawa terdapatnya pendarahan yang lebih teruk yang berlaku di dalam bahagian sistem usus anda.
Sila dapatkan rawatan segera jika anda mengalami pendarahan yang teruk, pening-pening, mual-mual mahupun pitam.

Diagnosis

  • Pemeriksaan digital. Ketika pemeriksaan rektal digital dijalankan, doktor akan memasukkan jari (dengan bersarung tangan dan berpelincir) ke dalam rektum anda. Doktor tersebut akan mencari sebarang kelainan seperti bengkak atau benjolan. Melalui pemeriksaan tersebut, doktor akan memutuskan sama ada sebarang pemeriksaan lanjut diperlukan bagi pesakit tersebut.
  • Pemeriksaan visual. Oleh kerana hemorrhoid dalaman selalunya terlalu lembut untuk dirasai ketika pemeriksaan rektal, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan pada bahagian bawah kolon dan rektum anda dengan menggunakan anoskop, proktoskop atau sigmoidoskop.

Ubat-ubatan

Jangan gunakan krim steroid melebihi satu minggu kecuali dengan arahan dan pantauan daripada doktor kerana ia boleh menyebabkan kulit anda menipis.


Rawatan di rumah

Anda boleh melegakan kesakitan ringan, bengkak dan radangan hemorrhoid dengan rawatan sendiri di rumah. Selalunya, berikut merupakan kaedah rawatan yang diperlukan.
  • Bilas atau berendam di dalam air mandian yang suam secara kerap. Bilas kawasan punggung anda dengan air suam selama 10 hingga 15 minit sebanyak tiga kali sehari.
  • Pastikan kawasan punggung anda bersih. Mandi secara rendaman (lebih digalakkan) atau mandi secara biasa pada setiap hari bagi membersihkan kulit di sekitar dubur anda secara perlahan dengan air suam. Elakkan daripada menggunakan pencuci berasaskan alkohol atau wangian. Lap kawasan tersebut sehingga kering atau keringkan dengan pengering rambut.
  • Jangan gunakan tisu tandas yang kering. Bagi memastikan kawasan sekitar dubur adalah bersih setelah membuang air besar, lap menggunakan kain atau tisu basah yang tidak mengandungi wangian atau alkohol.
  • Kaedah ais. Letak ais di permukaannya untuk kurangkan rasa sakit.